Kronologi Perhimpunan 'Duduk Bantah' Bersih 3.0 | 28 April 2012

on 28 April 2012

*Updated terkini: 7.20 petang

BERIKUT adalah kronologi suasana menjelang Perhimpunan 'Duduk Bantah' Bersih 3.0 yang diadakan di Dataran Merdeka pada Sabtu.


Polis melepaskan gas pemedih mata selepas penyokong cuba mengalihkan halangan kawat berduri di Dataran Merdeka.
Seorang penyokong Bersih 3.0 memberi bunga kepada pasukan FRU yang menjaga ketenteraman awam.
Penyokong Bersih 3.0 sanggup berbaring di atas jalan sebagai tanda protes mereka terhadap pihak polis yang tidak membenarkan mereka memasuki Dataran Merdeka
Pasukan FRU melepaskan meriam air kepada penyokong Bersih 3.0 yang cuba merempuh penghadang yang dipasang oleh pihak polis di hadapan Dataran Merdeka.
Sekumpulan penyokong Bersih 3.0 bertindak ganas dengan menterbalikkan kereta polis di hadapan Sogo.

7.10 petang: Polis menahan beberapa penyokong Bersih 3.0 di kawasan sekitar Stesen LRT Masjid Jamek dan sepanjang Jalan Tun Perak ekoran kedegilan mereka yang masih mahu berhimpun dan enggan bersurai.

Penyokong berkumpul di Jalan Tun perak, Kuala Lumpur

6.35 petang: Pasukan FRU mengawal keselamatan di hadapan Stesen LRT Masjid Jamek.

Penyokong Bersih 3.0 masih enggan bersurai, berhimpun di sekitar persimpangan Jalan Tun Perak dan Leboh Ampang.

Bilangan penyokong Bersih 3.0 semakin berkurangan. Ramai yang sudah bersurai dan ditahan oleh pihak polis.

6.25 petang: Pasukan FRU beramai-ramai menuju ke Jalan Tun Perak bagi meleraikan perhimpunan penyokong Bersih 3.0 yang masih berdegil enggan bersurai di Stesen LRT Masjid Jamek.

6.05 petang: Jalan TAR dibuka semula untuk laluan kenderaan ke Jalan Kuching dan Jalan Parlimen.

Bagaimanapun jalan menuju ke Dataran Merdeka masih ditutup dan dikawal oleh anggota polis.

Sebahagian penyokong Bersih 3.0 masih berada di Jalan TAR, berhampiran persimpangan Jalan Raja dan Jalan Tun Perak.

6 petang: Penyokong Bersih 3.0 masih berdegil enggan bersurai dan berhimpun beramai-ramai di Jalan Tun Perak.

Pasukan polis bersedia mengawal keselamatan di persimpangan Jalan Raja dan Jalan Tun Perak

5.45 petang: Keadaan begitu tegang di sepanjang Jalan Tun Perak di hadapan Stesen LRT Masjid Jamek apabila penyokong Bersih 3.0 tidak puas hati dengan tindakan polis yang menghalang mereka.

5.42 petang: Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga ketika sidang media melahirkan rasa kecewa terhadap kejadian tindakan beberapa pnyokong brsih yg melanggari perintah mahkamah agar tidak memasuki dataran merdeka. Katanya beliau tidak menyokong tindakan berkenaan dan meminta polis menyisat kejadian yang memaksa polis mengambil tindakan menembak gas pemedih mata.

5.40 petang: Lima trak polis memasuki Jalan TAR dan bersedia untuk mengawal keselamatan ekoran penyokong Bersih 3.0 masih berada di jalan itu dalam cubaan untuk memasuki Dataran Merdeka.

5.35 petang: Penyokong Bersih 3.0 melarikan diri ke Jalan Tun Perak menghala Stesen LRT Masjid Jamek.

Beberapa penyokong ditahan oleh anggota polis untuk pemeriksaan.

Bilangan anggota polis semakin bertambah, mengawal keadaan di persimpangan Jalan Raja dan Jalan Tun Per

5.30 petang: Penyokong Bersih 3.0 berhimpun di tengah-tengah persimpangan Jalan Raja dan Jalan Tun Perak untuk memasuki Dataran Merdeka.

Cubaan mereka dihalang oleh pasukan FRU dan anggota polis.

5.25 petang: Penyokong Bersih 3.0 di kawasan Stesen LRT Masjid Jamek kembali berhimpun dan berarak ke arah Dataran Merdeka sambil melaungkan "Reformasi" dan "Dataran".

5.20 petnng: Penyokong Bersih 3.0 memenuhi persimpangan Jalan Tun Perak dan Leboh Ampang sebaik sahaja anggota polis dan pasukan FRU meninggalkan kawasan di hadapan Stesen LRT Masjid Jamek.

5.18 petang: Ambiga bersama beberapa penyokong bersih berkumpul di KFC KL Sentral. Beliau dijangka akan mengadakan sidang media di sini.

5.15 petang: Sebahagian penyokong Bersih 3.0 masih berkumpul di hadapan Stesen LRT Masjid Jamek meskipun anggota polis meminta mereka bersurai.

5.10 petang: Kira-kira 10 trak polis yang masing-masing membawa pasukan FRU di sepanjang Jalan Tun Perak di hadapan Stesen LRT Masjid Jamek mula beransur dan menuju ke arah Dataran Merdeka.

Bagaimanapun, masih terdapat pasukan FRU dan anggota polis yang menjaga keadaan di kawasan sekitar.

5.00 petang: Sekumpulan FRU masih lagi menjaga laluan di Jalan Raja berhampiran Dataran Merdeka bagi menghalang penyokong Bersih 3.0 yang cuba untuk memasuki kawasan itu.

4.58 petang: FRU menuju ke Ibu Pejabat PAS di Jalan Raja Laut dan memberi amaran kepada penyokong supaya jangan mara.

4.40 petang: Lebih 50 penyokong Bersih termasuk beberapa wanita ditahan oleh anggota polis untuk pemeriksaan di Jalan Raja berhampiran Dataran Merdeka.

Kereta polis diterbalikkan berhampiran Sogo, kata Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh.

4.35 petang: Twitter PDRM: Pistol milik seorang anggota polis dilarikan oleh penyokong. Orang awam dinasihatkan supaya berhati-hati.

4.30 petang: Sebahagian penyokong Bersih 3.0 di Jalan Tun Perak berlindung di tepi Sungai Klang dan bahagian belakang Masjid Jamek.

4.20 petang: FRu melepaskan gas pemedih mata beberapa kali di Jalan tun Perak berhampiran dengan Stesen LRT Masjid Jamek.

4.15 petang: Segelintir penyokong Bersih 3.0 yang cuba menyelamatkan diri daripada tembakan gas pemedih mata berlindung di kawasan bersebelahan Pejabat Pos Besar.

3.55 petang: FRU dan anggota polis masih mengawal keadaan dan mengenakan sekatan jalan di kawasan sekitar Jalan Pasar berhampiran Pasar Seni.

3.50 petang: Kawasan sekitar antara Jalan Pasar dan Jalan Tun Perak semakin lengang. Para penyokong bersurai.

Sebahagian mereka yang terkena gas kanister cuba menyelamatkan diri.

3.43 petang: Lagi tembakan gas pemedih mata di jalan berhampiran LRT Masjid Jamek.

3.42 petang: Penyokong Bersih mula berlari meninggalkan kawasan berhampiran Dataran Merdeka.

3.30 petang: Perarakan berhenti di Ibu Pejabat PAS.

3.15 petang: Stesen LRT Masjid Jamek LRT ditutup. Penumpang yang berada di stesen tersebut perlu menuju ke stesen Pasar Seni atau Dang Wangi.

3.10 petang: Perarakan berhenti di Sogo.

Sebahagian penyokong mula menjauhi kawasan Dataran Merdeka sehingga ke arah Menara Maybank berikutan tembakan gas pemedih mata.

Namun, ada sebahagian lagi pula tidak berganjak dan terus melaungkan slogan 'Bersih' di hadapan stesen LRT Masjid Jamek.

3.05 petang: Perarakan tiba di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Mereka diminta supaya berhenti di hadapan Sogo kerana mendapat maklumat semburan gas dilepaskan di Dataran Merdeka.

Penyokong di sepanjang jalan berhampiran LRT Masjid Jamek mula panik apabila ada pihak menjerit 'teargas'.

Mereka bergerak sedikit ke jalan Leboh Ampang dan kemudiannya melaungkan Reformasi.


Anwar berucap di hadapan penyokong Bersih.

3.00 petang: Polis melepaskan tembakan gas pemedih mata dan meriam air ke arah penyokong selepas mereka merusuh halangan yang dipasang polis di hadapan Dataran Merdeka.

2.30 petang: Para penyokong Bersih yang membanjiri Jalan Tun Perak terutama di hadapan stesen LRT Masjid Jamek diarahkan duduk bagi menunjukkan bahawa perhimpunan diadakan secara aman.

Namun, keadaan yang begitu sesak menyebabkan sebahagian besar penyokong sukar untuk duduk.

Keadaan semakin sesak, ada segelintir penyokong terpaksa berdiri.

2.25 petang: Penyokong perhimpunan cuba mengalihkan halangan kawat berduri untuk memasuki Dataran Merdeka. Keadaan amat tegang.

2.20 petang: Perarakan tiba di Dataran Maybank. Sesi bergambar melibatkan Unit Amal PAS dan penyokong Bersih berbaju kuning.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bergambar bersama penyokong. Beliau turut berucap di hadapan penyokong.

2.08 petang: Perarakan Bersih memenuhi kedua-dua laluan jalan raya di hadapan Pasar Seni.

2.05 petang: Perarakan dari Masjid Negara kini menghampiri Pasar Seni. Mereka akan terus menuju ke Dataran Merdeka.

1.59 petang: Naib Presiden PKR, Nurul Izzah berucap di hadapan penyokong Bersih di Masjid Jamek.

1.50 petang: Penyokong di Masjid Negara mula bergerak ke Dataran Merdeka, menggunakan laluan jauh ke arah Pasar Seni.

Keadaan di hadapan stesen LRT Masjid Jamek dan sepanjang Jalan Tun Perak begitu sesak dengan ribuan penyokong.

Tiada perarakan setakat ini, masing-masing tertumpu pada sorakan beramai-ramai di hadapan stesen LRT Masjid Jamek.

Wakil daripada Solidariti Anak Muda memaklumkan kepada orang ramai bahawa Dataran Merdeka adalah milik rakyat.

1.45 petang: Penyokong Bersih yang berada di Pasar Seni berarak ke Dataran Merdeka. Perarakan itu diketuai Ambiga dan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat yang lain.

1.40 petang: Anwar bersama penyokong di Masjid Negara mula berarak ke Dataran Merdeka. Turut kelihatan, Mat Sabu, Kit Siang dan beberapa pemimpin lain.

Unit Amal PAS mengawal keseluruhan keadaan.


1.25 petang: Semua penyokong Bersih dan Himpunan Hijau berhenti bersorak buat sementara waktu dan duduk di sepanjang Jalan Tun Perak bagi menghormati mereka yang beragama Islam menunaikan solat Zohor di Masjid Jamek.


Turut kelihatan sekumpulan penyokong yang mewakili Solidariti Anak Muda.


1.23 petang: Penyokong menunaikan solat Zohor. Jemaah memenuhi perkarangan Masjid Negara.



12.55 tengah hari: Anwar berucap di hadapan ribuan penyokong Bersih. Bersama beliau ialah Datin Seri Wan Azizah, Mohamad Sabu, Kit Siang.




Mohamad Sabu mengetuai kumpulan itu menyanyikan lagu 'Merdekakan Dataran Merdeka'. Anwar turut menyanyi bersama.



Penyokong Bersih berkumpul dekat bangunan DBKL di Jalan Tun Perak pada pukul 10 pagi Brian Moh. 

Menurut Anwar, kumpulan yang berhimpun di Masjid Negara akan bergerak ke Dataran Merdeka selepas waktu Zohor.

12.50 tengah hari: Ribuan penyokong Bersih dan Himpunan Hijau terus berarak ke kedua-dua arah di sepanjang Jalan Tun Perak sambil melaungkan sorakan 'Reformasi'.

12.40 tengah hari: Penyokong Bersih kelihatan menikmati makan tengah hari di restoran India Muslim di stesen KTM.

12.36 tengah hari: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai kumpulan penyokong yang berhimpun di Masjid Negara.

12.35 tengah hari: Kumpulan yang bergerak dari Brickfields kini menuju ke Pasar Seni sebelum ke Dataran Merdeka.

12.20 tengah hari: Sebahagian besar penyokong Bersih dan Himpunan Hijau duduk di tengah dan bahu jalan di sepanjang Jalan Tun Razak dari stesen LRT Masjid Jamek hingga ke Dataran Merdeka.


Ambiga menerima sorakan daripada penyokong Bersih yang berada di Pasar Seni.
12.15 tengah hari: Bekas pemimpin veteran Umno, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir berada di Masjid Negara. Turut kelihatan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Kumpulan penyokong Bersih yang bergerak dari Little India kini bergerak seiring dengan sekumpulan lagi penyokong yang berhimpun di hadapan bangunan YMCA menuju ke Dataran Merdeka.

Kumpulan ini kini diketuai unit Amal PAS menuju ke Dataran Merdeka.

12.05 tengah hari: Ribuan penyokong Bersih dan Himpunan Hijau berarak di sepanjang Jalan Tun Perak di keduad-dua arah, menghala ke Dataran Merdeka.

Masing-masing melaungkan sorakan 'Bersih' dan 'Stop Lynas'.

12.04 tengah hari: Perarakan penyokong Bersih ke Dataran Merdeka melalui Jalan Tun Sambanthan mengakibatkan lalu lintas sesak. Namun pihak polis mengawal keadaan dengan baik.

Kumpulan itu bergerak sambil bersorak 'Hidup!Hidup!Bersih!Bersih.

12 tengah hari: Kira-kira 200 penyokong Bersih di Brickfields mula bergerak ke Dataran Merdeka.

Kawasan Masjid Negara semakin dipenuhi ramai penyokong Bersih. Bahagian hadapan sesak menyebabkan penyokong berdiri di sepanjang jalan raya dan bulatan dekat KTM di sini.

Semuanya gara-gara desas desus yang mengatakan Anwar akan berada di sini.

Kelihatan polis semakin ramai mengawal keadaan.

11.50 pagi: Sejumlah besar penyokong Bersih kembali duduk di tengah-tengah persimpangan Jalan Hang Lekiu dan Jalan Tun Perak dengan bersorak 'Reformasi', 'Duduk', 'Bantah', 'Hidup Rakyat' dan 'Hancur BN'.

11.45 pagi: Polis mengesahkan satu alat yang ditemui berhampiran Dayabumi pagi tadi bukanlah sejenis bahan letupan.

11.40 pagi: Ratusan penyokong Bersih dari arah Dataran Merdeka berarak di Jalan Tun Perak menghala ke arah Menara Maybank sambil melaungkan 'Reformasi' dan 'Hidup Rakyat'.

Kesemuanya kemudia duduk dan meneruskan sorakan di tengah-tengah persimpangan Jalan Hang Lekiu dan Jalan Tun Perak.

Selepas itu, masing-masing berdiri menyanyikan lagu 'Negaraku'.

Kira-kira 50 penyokong Bersih mula berkumpul di hadapan Air Pancuran Little India di Jalan Brickfields pada pukul 10.30 pagi.
11.36 pagi: Kumpulan yang berkumpul di Little India diedarkan notis kecil 'Jika anda ditahan, sila SMS:(1) Nama Penuh (2)No Kad Pengenalan (3) Balai Polis kepada 0133845740.

11.34 pagi: Penyokong Bersih di Little India bersorak 'Hidup Rakyat, Selamatkan Malaysia'. Kumpulan berkenaan diketuai Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr. Xavier A. Jeyakumar.

11.30 pagi: Para penyokong Bersih duduk di atas Jalan Tun Perak, beramai-ramai sambil bersorak 'Reformasi' dan 'Allahuakbar' serta 'Hidup Bersih', Hidup Rakyat, Duduk Bantah'.

11.20 pagi: Kelihat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang yang juga Speaker Selangor, Datuk Teng Chan Kim mengetuai satu kumpulan penyokong Bersih yang melaungkan sorakan 'Bersih' di hadapan stesen LRT Masjid Jamek.

11.19 pagi: Di Air Pancuran Little India, Brickfields, kira-kira 100 penyokong Bersih mula berkumpul. Mereka dijangka bergerak ke Dataran Merdeka pada pukul 12 tengah hari. Kumpulan itu memakai kemeja-T Bersih.

11.00 pagi: Pemangku Presiden Makkal Sakti, V. Vathemurty yang mengetuai kumpulan penyokong Bersih di Air Pancuran Little India, Brifields berkata, mereka akan mula berarak ke Dataran Merdeka melalui Jalan Travers atau Jalan Tun Sambathan.

Katanya, mereka akan berarak dalam suasana aman.

10.55 pagi: Kumpulan yang berkumpul di kawasan Brickfields mula bersorak 'Hidup!Hidup! Bersih! Bersih!.

10.50 pagi: Kira-kira 20 penyokong Bersih mula berkumpul di kawasan Air Pancuran Little India. Mereka mula memasang kain rentang 'Duduk Bantah Dataran Merdeka'.

Anggota polis yang mengawal di kawasan sekitar tidak mengambil apa-apa tindakan.

10.35 pagi: Mat Sabu tiba di Masjid Negara. Semua penyokong duduk seperti slogan 'Duduk dan Bantah'.

Mereka turut menyanyikan lagu tanggal 31 Merdeka tetapi menukar kepada tangga 28 April.

10.32 pagi: Pengerusi Bersih, Datuk S.Ambiga melalui Jalan Sultan Hishammuddin menuju ke KTM. Ambiga bertopi dan berkaca mata hitam.

10.30 pagi: Unit Amal PAS yang berkumpul di Masjid Negara mula memberikan taklimat kepada penyokong.

Mereka memakai pakaian seragam berwarna merah. Taklimat menarik perhatian penyokong.

10.25 pagi: Buat pertama kalinya, penyokong Bersih di Masjid Negara melaungkan Allahuakbar di Masjid Negara. Laungan berikutan sekumpulan penyokong beratur memakai kemeja-T Bersih.

10.20 pagi: Lebih 30 anggota polis berjalan menghala ke arah Dataran Merdeka dan kehadiran mereka mendapat tepukan gemuruh daripada para penyokong Bersih.

Jumlah penyokong Bersih 3.0 di kawasan sekitar stesen LRT Masjid Jamek dan sepanjang Tun Perak kini lebih 1,000 orang.

10.15 pagi: Suasana di KTM lengang. Mereka yang menaiki komuter terus bergerak ke Masjid Negara.

10.10 pagi: Penyokong Bersih membawa sepanduk 'EC Resign Now' (Suruhanjaya Pilihan Raya Bersara Sekarang) yang turut tertera kenyataan 'From the concerned people-the rakyat' (daripada Rakyat yang prihatin), dari stesen LRT Masjid Jamek menghala ke Dataran Merdeka.

Suasana di masjid negara pada pukul 9.00 pagi.
Ada segelintir penyokong melaungkan 'Reformasi' ketika berarak membawa sepanduk.

9.45 pagi: Beratus-ratus penyokong Bersih memenuhi kawasan sekitar stesen LRT Masjid Jamek.

Turut kelihatan sejumlah kecil penyokong Himpunan Hijau di sini. Sebahagian mereka berkumpul di bahu jalan.

Tiga restoran termasuk dua restoran makanan segera dan dua kedai serbaneka 24 jam beroperasi di Jalan Tun Perak berhampiran stesen LRT Masjid Jamek walaupun sepanjang jalan kedua-dua arah dipenuhi ratusan penyokong Bersih.

9.41 pagi: Suasana sekitar Jalan Brickfields berhampiran kolam air pancuran masih lengang. Kelihatan beberapa kenderaan polis bersama sekumpulan anggota mula mengawasi kawasan sekitar.

9.30 pagi: Penyokong Bersih semakin ramai berkumpul di Masjid Negara. Petugas media turut membanjiri kawasan itu.

Helikopter berlegar-legar memantau keadaan.

9.15 pagi: Kelihatan sekumpulan penyokong Bersih membeli token LRT di stesen KL Sentral untuk ke beberapa stesen seperti Masjid Jamek, Pasar Seni di mana kolasi penyokong Bersih berkumpul.

9.10 pagi: Tiga trak polis tiba di Jalan Tun Perak berhampiran stesen LRT Masjid Jamek.

Lebih 30 anggota polis membuat persiapan mengawal keadaan di sini.

Kira-kira 25 anggota polis yang lain berada di persimpangan Jalan Tun Perak dan Leboh Ampang, mengenakan sekatan bagi laluan menghalang ke Dataran Merdeka.

9.06 pagi: Sekumpulan kecil penyokong tiba di Pasar Seni dengan membawa bersama dram dan tamborin.

9.05 pagi: Penyokong Himpunan Hijau mula berkumpul di laluan masuk ke KLCC, Jalan Ampang.

9.00 pagi: Lebih 200 penyokong Bersih mula membanjiri luar perkarangan Stesen LRT Masjid Jamek dan kawasan sekitar.

Sebahagian mereka mamakai baju kemeja-T berwarna kuning dengan lambang Bersih 3.0.

Ada di antara mereka turut memakai bandana, topi dan tudung serta gelang tangan berwarna kuning.

Lebih 10 polis bantuan mengawal keadaan dan keselamatan di Stesen LRT Masjid Jamek.

Bagaimanapun, keadaan di sini masih aman.

Beberapa anggota polis dan polis trafik turut mengawal keadaan trafik di hadapan stesen LRT.

Jalan menghala ke Dataran Merdeka ditutup.

9.00 pagi: Suasana di Masjid Negara tenang sejak pukul 8 pagi tadi. Kebanyakan penyokong dan orang awam menghabiskan masa dengan membaca surat khabar dan tak kurang juga yang tidur di hadapan masjid.

8.45 pagi: Masih tidak kelihatan penyokong Bersih di sekitar bangunan KL Sentral. Orang awam kelihatan sibuk dengan aktiviti masing-masing.

8.15 pagi: Suasana di KL Sentral mula sibuk dengan kehadiran orang awam. Tiada penyokong Bersih kelihatan di sekitar bangunan KL Sentral. -


Sumber: mStar Online
Ranking: 5

{ 1 Comments... read them below or add one }

  1. lepas nih, spread la berita tenet n berita tibi yg berbeza-beza...

    >>#Kapitalis Corporation

    ReplyDelete

 
© Official Blog Budak Jalanan All Rights Reserved