Selepas Safee Sali, Mohd. Safiq Rahim dan Muhd. Ariff Zulkifly berjaya mengharumkan nama negara di arena bola sepak antarabangsa, kini tiba giliran pemain tengah skuad Harimau Muda, Mohd. Nazmi Faiz Mansor pula.
Dia baru-baru ini dilamar kelab Divisyen 1 Portugal, S.C Beira-Mar untuk beraksi dengan pasukan yang menduduki tangga ke-12 Premiera Liga Portugal itu.
Apa pun, Nazmi Faiz perlu membuktikan kemampuannya terlebih dahulu dalam sesi ujian pemilihan selama seminggu bermula Isnin depan.
"Pastinya, saya akan memberikan persembahan terbaik kerana inilah peluang untuk saya mengembangkan pengalaman dan menjadi pemain pertama negara mewakili kelab Eropah," katanya yang ditemui pada sesi latihan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di sini semalam.
Video sesi temu ramah itu juga boleh diakses di Utusan Online melalui pautan S.C Beira-Mar gamit Nazmi Faiz
Kemampuan Nazmi Faiz dihidu oleh seorang ejen bola sepak Portugal semasa aksi pemain berusia 17 tahun itu dalam Liga Singapura bersama Harimau Muda A baru-baru ini.
Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee yang gembira dengan perkembangan ini berkata: "Pemilihan pemain Malaysia untuk jalani latihan dengan kelab luar negara jelas membuktikan bahawa bakat pemain kita semakin dihargai." - UTUSAN ONLINE
{ 0 Comments... read them below or add one }
Post a Comment