Najwa Latif |
Penyanyi remaja, Najwa Latif, yang sebelum ini menjelaskan lagu “Kosong” nyanyiannya tidak menyindir sesiapa bertambah terkejut selepas membaca laporan terbaru kononnya karya itu ditujukan kepada wartawan.
Najwa, 17, berkata, dia tidak pernah berniat untuk menyindir wartawan tetapi ia dihasilkan sebagai pemangkin semangat kepada dirinya selain untuk dikongsi kepada orang lain jika menghadapi sebarang masalah.
"Tidak pernah terlintas pun dalam fikiran saya untuk menyakiti mana-mana pihak melalui lagu apatah lagi ia ditulis semata-mata untuk memberi inspirasi kepada diri sendiri dan orang lain," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Isnin.
Tambah Najwa, dia juga tidak pernah mempunyai sebarang masalah dengan mana-mana wartawan sehingga ingin membalas dendam menerusi lagu dan menganggap mereka sering menyokong kerjaya seninya.
"Walaupun kadang-kadang saya kena kritik tetapi saya mengambil perkara itu sebagai positif dalam memperbaiki diri tetapi setakat ini tidak pula saya mempunyai masalah atau bermusuh dengan mana-mana pihak media," katanya.
Dalam pada itu, kakak kepada Najwa iaitu Syafikah Latif turut menafikan dakwaan tersebut dan menganggap ia tidak berasas sama sekali.
Syafiqah memberitahu, lirik lagu berkenaan yang dituliskan sejak lima bulan lalu itu tidak pernah bertujuan untuk 'menyerang' mana-mana pihak sebaliknya mahu memberi semangat kepada semua pendengar yang mungkin mempunyai masalah supaya tidak berputus asa.
"Sebelum tulis lirik lagu berkenaan saya terlebih dahulu berbincang dengan Najwa tentang tema, konsep lagu berkenaan dan sebagai remaja kami ingin menghasilkan sesuatu yang dapat memberi inspirasi kepada orang lain terutamanya di kalangan remaja.
"Bagaimanapun saya tidak boleh menghalang penilaian orang lain kerana ia pandangan individu," katanya.
Sementara itu, Syafiqah berkata, dia dan adiknya tidak perlu melenting terhadap cerita terbaru itu sebaliknya mengambil ia sebagai satu perkara positif dan menerimanya untuk memperbaiki kelemahan.
"Bila orang bercakap kita kena sentiasa lihat kembali kepada diri dan perbaiki kelemahan yang ada," katanya.
Ditanya mengenai penerimaan Najwa terhadap cerita negatif tentang dirinya, Syafiqah berkata dia sangat berbangga dengan adiknya itu kerana tidak cepat melatah apabila ada kontroversi yang dikaitkan dengannya.
Malah kata Syafiqah, tumpuan Najwa terhadap pelajaran juga tidak terganggu dan sentiasa fokus untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada hujung tahun ini.
- mStar Online
good luck untuk najwa bagi menghadapi spm tahun ni. ini salah satu ujian juga yg kena tempuh.
ReplyDelete