4,430 Pelajar Ijazah Kelas Pertama Tidak Perlu Bayar Balik Pinjaman PTPTN | Seramai 4,430 pelajar Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama yang menamatkan pengajian sebelum tahun 2010 tidak perlu membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN).
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ini berikutan keptusan kerajaan yang bersetuju memperluaskan dasar pinjaman boleh ubah kepada pelajar berkenaan.
Beliau memberitahu demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Skim Simpanan Pendidikan Nasional-i (SSPN-i) dan penyerahan Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) PTPTN kepada 255 pelajar Parlimen Pasir Gudang.
Mohamed Khaled berkata pinjaman yang ditukarkan kepada biasiswa untuk pelajar cemerlang itu diputuskan pada 15 Jun lepas selaras dengan tindakan kerajaan melaksanakan semula dasar pinjaman boleh ubah bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama atau setaraf yang tamat pengajian mulai 1 Januari 2010.
"4,430 pelajar itu merupakan mereka yang diluluskan pinjaman pendidikan PTPTN selepas 1 Julai 2005 dan menamatkan pengajian sebelum 1 Januari 2010 melibatkan pembiayaan RM116.2 juta," katanya.
Mohamed Khaled yang juga anggota Parlimen Pasir Gudang berkata peluasan dasar pinjaman boleh ubah itu dibuat selepas kerajaan berpendapat bahawa pelajar cemerlang wajar diberi pengiktirafan selain menggalakkan pelajar terus berusaha mendapatkan keputusan cemerlang.
Beliau berkata kesemua pelajar berkenaan dikehendaki mengemukakan surat permohonan rasmi kepada PTPTN dengan menyertakan dokumen-dokumen termasuk salinan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama yang telah disahkan.
Mereka hendaklah memberikan salinan transkrip keputusan peperiksaan, akuan pelajar dan salinan sijil perakuan akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi pelajar graduan institusi pengajian tinggi swasta.
Katanya, pelajar boleh merujuk prosedur melalui laman web PTPTN di www.ptptn.gov.my dan pihak PTPTN akan membayar balik pinjaman sama ada secara penuh atau sebahagian.
Sementara itu, mengenai SSPN-i, Mohamed Khaled berkata produk tersebut selaras dengan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) yang disahkan sebagai produk mematuhi prinsip Syariah.
Beliau berkata dengan pengesahan tersebut, kesemua pendeposit terdahulu, sekarang dan yang baru serta mempunyai akaun SSPN yang mematuhi Syariah perlu membuka akaun SSPN-i melalui Maybank atau Bank Islam Malaysia Berhad.
Katanya, pembukaan akaun SSPN-i melalui bank lain hanya dibenarkan untuk mereka yang berhasrat memohon pembiayaan pendidikan PTPTN selepas tahun ini.
- BERNAMA
{ 0 Comments... read them below or add one }
Post a Comment