Malaysia menamatkan kempen Piala Thomas 2012 setelah tewas kepada China 0-3 pada perlawanan peringkat suku akhir di Gimansium Pusat Sukan Wuhan.
Dengan kekalahan itu, genap 20 tahun Malaysia gagal membawa pulang piala berprestij itu selepas kali terakhir memenanginya pada tahun 1992.
Liew Daren, yang menggantikan Datuk Lee Chong Wei selaku perseorangan pertama, bermula baik apabila berjaya mencuri set pertama 21-17 daripada perseorangan China, Lin Dan.
Bagaimanapun, pemain berusia 25 tahun itu, gagal meneruskan rentak cemerlang untuk menyaingi ketangkasan Lin Dan pada set kedua dan ketiga yang berkesudahan 21-9 dan 21-5.
Gandingan Koo Kien Keat/Tan Boon Heon yang diturunkan semula hari ini turut kecundang di tangan beregu nombor satu dunia, Cai Yun/Fu Haifeng 21-17, 21-18, begitu juga dengan perseorangan kedua, Muhammad Hafiz Hashim yang tewas mudah di tangan Chen Long 21-10 dan 21-11.
Jurulatih kebangsaan Rashid Sidek berkata kekalahan itu telah dijangka memandangkan pasukan China dibarisi pemain ranking tertinggi dunia.
"Memang kita tahu China lebih kuat daripada kita. Pemain China semuanya 'top players'...nombor dua, nombor tiga dunia, memang sukar untuk kita dapatkan satu mata pun," katanya ketika ditemui pemberita Malaysia di sini.
Beliau yang mengakui ketiadaan Chong Wei turut menjejaskan kekuatan pasukan, bagaimanapun berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan Liew Daren kerana berjaya menundukkan Lin Dan pada set pertama.
China akan bertemu Jepun pada separuh akhir esok, manakala Denmark akan bertemu Korea Selatan pada satu lagi perlawanan separuh akhir. - BERNAMA
{ 0 Comments... read them below or add one }
Post a Comment