Kelab Shanghai Shenhua akan meneruskan rundingan dengan Didier Drogba seperti yang dirancang. - AFP |
Kelab Shanghai Shenhua akan meneruskan perundingan dengan Didier Drogba seperti yang dirancang dan ia menghangatkan lagi spekulasi penyerang itu bakal berpindah ke China selepas mengumumkan meninggalkan Chelsea.
Shenhua yang dimiliki hartawan permainan video, Zhu Jun telah pun mengikat bekas rakan sepasukan Drogba dalam skuad Chelsea, Nicolas Anelka pada Disember tahun lalu.
Kelab itu telah memulakan perundingan dengan bintang antarabangsa Ivory Coast terbabit sejak Januari lepas.
"Sehingga sekarang, perbincangan dengan Drogba masih diteruskan seperti yang dirancang," kata Zhu kepada Oriental Sports Daily.
Drogba, 34, mendedahkan, dia meninggalkan gergasi Liga Perdana Inggeris, Chelsea kelmarin, sehari selepas pasukannya melakar kemenangan dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich.
Drogba menjaringkan gol penyamaan dan juga penentuan sepakan penalti yang meletakkan kelabnya sebagai juara.
Sejak menyertai Chelsea dari Marseille pada 2004, pemain itu meledakkan 157 gol dalam 341 penampilan, membantu kelabnya memenangi 10 trofi.
"Ia satu keputusan yang sukar untuk saya lakukan dan saya amat bangga dengan pencapaian kami, tetapi sudah tiba masanya saya mencari cabaran baru," katanya dipetik dalam laman web Chelsea.
Drogba menjadi bintang terbaru yang bakal ditandatangani kelab China yang berbelanja besar itu dalam Liga Super, selepas jurulatih pemenang Piala Dunia, Marcello Lippi menyertai Guangzhou Evergrande, minggu lepas.
Namun, perpindahan Anelka diiringi dengan masalah. Minggu lalu, pemain tersebut mengancam untuk meninggalkan Shenhua selepas kelab itu merancang untuk mengambil ketua jurulatih baru, menurut media tempatan.
"Jika tiada seorang pun yang menyokong saya dan mereka terus bermain muslihat di belakang saya, saya bersedia memutuskan sama ada untuk bersara atau tidak," kata pemain Perancis itu kepada Xinmin Evening News.
Pemilik kelab, Zhu telah pun menulis kepada ejen dan peguam Anelka bagi mendapatkan penjelasan, lapor Oriental Sports Daily. - AFP
{ 0 Comments... read them below or add one }
Post a Comment