RM1 Juta Untuk Atlit Emas Olimpik

on 26 April 2012

London OlympicADA perkhabaran gembira buat merangsang atlit negara memenangi pingat emas pertama di Sukan Olimpik London 2012 apabila syarikat swasta berminat menawarkan imbuhan tambahan RM1 juta, menjadikan kini keseluruhan RM2.1 juta. 

Andai perjanjian bersama sektor korporat itu dimeterai, ini bermakna pemenang pingat emas negara bakal dianugerah RM1 juta daripada Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) dan RM100,000 daripada Telekom Malaysia Berhad (TM).

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Gan Ping Shou berkata, hasrat syarikat itu membuktikan minat sektor korporat membantu usaha negara untuk merealisasikan misi ‘Merintis Emas Pertama’ Olimpik.

“Mungkin selepas ini kita mengharapkan sektor korporat memberi tawaran bagi pingat perak dan gangsa juga. Saya tidak boleh mendedahkan lagi nama syarikat yang menyatakan minat itu tetapi syarikat itu adalah sebuah syarikat besar yang terkenal,” katanya selepas melancarkan program siri televisyen ‘Jejak Ke London’ di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil, semalam. 

Terdahulu, Ping Shou melancarkan program 13 siri ‘Jejak Ke London’ yang diterbitkan MSN dengan kerjasama 100PLUS yang menyumbang RM4 juta bagi program yang akan disiarkan di saluran Astro Arena bermula Sabtu ini sehingga bermulanya Sukan Olimpik, Julai depan. 

Siri itu memaparkan perjuangan dan persiapan atlit kebangsaan dan pelbagai pihak berkaitan dalam merealisasi impian meraih emas pertama negara di Olimpik. 

“Pelancaran program ini adalah sejarah pertama sukan tanah air apabila kita menerbitkan program bagi meningkatkan semangat atlit dan memberi kesedaran pada penonton mengenai perjuangan mereka untuk memburu emas di Sukan Olimpik,” katanya. - BHarian
Ranking: 5

{ 1 Comments... read them below or add one }

  1. besar cabaran dan besar juga imbuhan yg dapat kalau menang emas.

    ReplyDelete

 
© Official Blog Budak Jalanan All Rights Reserved