Siapakah Yang Bakal Menjadi Bintang Paling Popular 2011 ?

on 8 April 2012

Siapakah yang bakal menjadi Bintang Paling Popular ?

SEJAK diperkenalkan pada edisi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 1990 dengan penyanyi bersuara lunak, Aishah dinobatkan sebagai penerima pertama gelaran Bintang Paling Popular, trofi utama itu saban tahun menjadi intaian setiap nama yang membolosi Top 5 anugerah berprestij itu.

Menyorot sejarah sepanjang 25 tahun ABPBH dianjurkan, selebriti lelaki lebih menyerlah menjadi pilihan peminat untuk dinobatkan dengan pengiktirafan tertinggi sebagai lambang keampuhan populariti yang diukir.

Zainalabidin melakar sejarah peribadi sebagai penyanyi lelaki pertama dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular pada kemuncak ABPBH 1991, disusuli Eman Manan yang menjulangnya pada edisi ABPBH 1992.

Dua kali menjadi milik selebriti lelaki, ABPBH 1993 menyaksikan populariti luar biasa yang diraih aktres berdarah campuran Melayu-Inggeris, Datin Sofia Jane melayakkannya menduduki takhta tertinggi di hati peminat.

Kemaraan Sofia juga tidak bertahan lama apabila edisi ABPBH 1994 menyaksikan trofi itu kembali menjadi milik selebriti lelaki apabila dimenangi Datuk M Nasir.

Kemaraan Ziana Zain pada edisi ABPBH 1995 seterusnya Datuk Siti Nurhaliza yang mempertahankan trofi itu selama lima tahun berturut-turut bermula ABPBH 1996 memperlihatkan penguasaan artis wanita yang tidak mampu digugat. 
Kembali mengunggulinya pada edisi ABPBH 2004 dan ABPBH 2009, populariti penyanyi wanita terkenal itu pernah digugat Rosyam Nor pada ABPBH 2002, Saiful Apek (ABPBH 2003) dan Mawi (ABPBH 2005, 2006 dan 2007).

Siti juga pernah dihampakan Nabil yang menggenggam gelaran itu pada edisi ABPBH 2008 dan tahun lalu menjadi milik Shaheizy Sam selepas isteri kepada usahawan, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa itu menarik diri daripada terus bertanding.

Lapan artis lelaki dan empat artis wanita pernah mengecapi nikmat bergelar Bintang Paling Popular sepanjang ABPBH diperkenalkan sejak 1987.

Malam ini, sebutir lagi bintang bakal menyinar di persada hiburan negara untuk membawa gelaran Bintang Paling Popular, sekali gus menyertai senarai 12 nama yang terlebih dulu mendaki puncak tertinggi itu.

Umpama sebuah permainan silang kata yang menanti masa untuk dilengkapkan, Arena Of Stars, Genting Highlands menamatkan segala persoalan apabila ABPBH 2011 berlangsung tepat jam 9 malam ini.

Ramai menelah Aaron Aziz memiliki potensi besar untuk menghampakan Shaheizy Sam yang mencipta kejutan apabila mengecewakan Zizan Razak pada malam kemuncak ABPBH 2010 lalu.

Tidak dinafikan tiga nama itu masih bertahan dalam memberikan persaingan antara satu sama lain, malah ABPBH 2011 memperlihatkan situasi paling sengit terutama menjelang detik kemuncaknya.

Barangkali populariti Sam dilihat sedikit menyusut apabila filem lakonannya yang ditayangkan sepanjang tahun lalu gagal mencatat kutipan selesa kecuali Kongsi.

Selepas Songlap, Sam yang berterusan mencabar diri menerima pelbagai watak berbeza mengambil keputusan berani dengan memperlahankan karier lakonannya.

Tindakan nekad Sam barangkali memberi sedikit impak terhadap popularitinya tetapi nasib kembali menyebelahinya apabila sekuel, Adnan Sempit 2 menemui penonton, Februari lalu.

Adnan Sempit 2 memulihkan populariti Sam, malah memecah kesuraman kutipan filem tempatan apabila produksi itu mengaut RM6.33 juta.

Sambutan hebat yang diberikan peminat secara tidak langsung membantu melonjakkan semula undian untuk Sam, sekali gus memberi cabaran kepada Aaron.
Siapa pun tidak akan menyangkal kekuatan nama pelakon asal Singapura yang menyerlah selesa sepanjang tahun lalu. Bagaimanapun apa yang dikecapi Aaron tidak diperolehnya sekelip mata.

Ia menuntut perjalanan yang panjang, malah menduga kesabaran pelakon yang mula mengintai peluang melebarkan pengaruhnya di Malaysia sejak 2004 menerusi drama berantai, Haryati 2.

Mencuba pelbagai medium lakonan sama ada di layar kaca, lebar mahu pun pentas, Aaron bernasib baik apabila setiap hasil kerjanya menerima sambutan luar biasa.
Watak Seth Tan yang dijayakannya dalam drama berantai, Nora Elena di samping Siti Saleha menjadi pencetus kepada sambutan luar biasa untuk slot Akasia yang bersiaran di TV3.

Populariti Aaron memuncak apabila drama yang diadaptasi daripada novel, Kasih Yang Suci mencatat 1.75 juta hits tontonan di portal Tonton.
Sementara itu, sesi Star Chat bersamanya menduduki tangga keempat tertinggi dunia di platform USTREAM dengan rekod sebanyak 24,984 pelayar ketika sesi berlangsung. 

Filem lakonannya seperti KL Gangster masih bertahan sebagai filem tempatan yang meraih kutipan tertinggi dengan RM11.74 juta, diikuti Ombak Rindu yang mencetus fenomena untuk filem drama romantik Melayu dengan kutipan RM10.9 juta.

Aaron mencipta fenomena tersendiri apabila teater lakonannya, Badai Semalam mencatat kutipan tiket paling tinggi dengan RM810,128 dan ditonton hampir 18,000 orang.

Semua faktor itu meletakkan Aaron sebagai calon pilihan untuk mengungguli Bintang Paling Popular, selepas Sam mencipta sejarah peribadi ekoran kejayaan Adnan Sempit tahun lalu.

Bagaimanapun usah diragui kemampuan Zizan dan bakat baru, Najwa Latif yang turut memperlihatkan persaingan hebat untuk memenangi kategori itu.

Edisi ABPBH 2010 menyaksikan Zizan berada pada kedudukan ketiga undian tertinggi selepas Sam yang mendahului dengan 126,160 undi, diikuti Shahir yang merekodkan 66,764 undi.

Ketiadaan Shahir dalam edisi ABPBH 2011 seakan memberi laluan selesa kepada Zizan untuk mencabar Sam dan Aaron, apatah lagi tahun lalu dia menerima kepercayaan peminat dengan 41,436 undi.

Faktor kemaraan Zizan diperkukuhkan apabila portfolio dirinya sebagai pengacara diperluaskan dengan mengendalikan program hiburan popular, Melodi yang mempunyai pengikut yang ramai. - BHARIAN ONLINE
Ranking: 5

{ 0 Comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© Official Blog Budak Jalanan All Rights Reserved