Baucar Buku Untuk Pelajar IPT Mempunyai Ciri Keselamatan

on 18 December 2011

Assalamualaikum dan salam 1Malaysia...

KHALED (dua dari kanan) menyerahkan replika Baucar Buku 1Malaysia bernilai RM260 juta  kepada dua wakil pelajar.

Baucar  buku RM200 yang akan diagihkan kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) akan dilengkapi ciri keselamatan bagi memastikan tidak disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Baucar RM50 setiap satu yang dicetak Percetakan Nasional Berhad itu dilengkapi beberapa ciri keselamatan seperti nombor siri, reka bentuk Guilloche cetakan terbalik serta menggunakan kertas keselamatan.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata ciri keselamatan itu penting supaya tidak berlaku pemalsuan baucar oleh pihak tertentu. 

“Duit pun ramai yang mahu palsukan,” katanya selepas melancarkan Pusat Kecemerlangan (CoE) Berpotensi serta penyerahan baucar buku 1Malaysia kepada IPT, semalam. 

Kerajaan memperuntukkan RM260 juta bagi pemberian baucar buku kepada 1.3 juta pelajar IPT seluruh negara dengan sah laku selama tiga bulan dari 1 Januari sehingga 31 Mac tahun depan. 

Semua warga Malaysia berdaftar sebagai pelajar aktif di IPT awam (IPTA), IPT swasta (IPTS) dan politeknik serta mengikuti pengajian peringkat diploma, sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah (PhD), matrikulasi/asasi dan pengajian persediaan, termasuk pelajar Tingkatan Enam, secara sepenuh masa dan separuh masa di IPT dalam negara pada Januari depan, layak mendapat baucar berkenaan.
 
Bantuan itu untuk pembelian buku akademik, jurnal, majalah ilmiah serta peralatan pembelajaran berdasarkan keperluan IPT masing-masing dan pelajar tidak dibenarkan sama sekali menebusnya dengan wang tunai. 

Mengenai CoE Berpotensi, Khaled berkata, RM20 juta akan diagihkan kepada tujuh CoE berpotensi yang sudah dikenal pasti sebagai tanda sokongan kementerian untuk melonjakkan keupayaan dan pencapaian pusat itu dalam bidang masing-masing. 

Tujuh CoE itu ialah Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), Universiti Malaysia Terengganu yang berkepakaran dalam bidang sains marin; Photonics Research Centre, Universiti Malaya (UM) dalam bidang sistem optik; Pusat Penyelidikan Nano teknologi dan Katalisis, UM dalam bidang katalisis. 

Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam mengimbangi isu pembangunan dan alam sekitar; Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM dalam memantapkan pengajian Bahasa Melayu selain Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN). 

MTUN membabitkan empat universiti iaitu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Teknikal Melaka, Universiti Malaysia Pahang dan Universiti Malaysia Perlis manakala bagi sektor perkhidmatan dan penyelidikan neurosains pula ialah Universiti Sains Malaysia. 

Khaled berkata, tujuh CoE Berpotensi itu akan dipandu arah dan dipantau pelan tindakan program penyelidikannya oleh kementerian menerusi Jawatankuasa Sepakaran bagi memastikan keberhasilan disasarkan selain mampu memperoleh pengiktirafan penuh sebagai pusat kecemerlangan pengajian tinggi (HiCoE) pada masa depan. 

Ranking: 5

{ 0 Comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© Official Blog Budak Jalanan All Rights Reserved