7 Amalan Sunat Pada Hari Raya | Bulan Ramadhan kian melabuhkan tirainya dan lebuhraya kian sesak dengan kebanyakan orang mengambil peluang ini untuk pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya bersama keluarga tercinta. Dalam kita sibuk tu jangan lupa keselamatan diri dan keluarga, berhati-hati apabila memandu. Jangan gelojoh sangat nak cepat sampai ke kampung.
Dalam kita seronok ingin menyambut Syawal yang bakal tiba tidak lama lagi, di sini saya ingin kongsikan bersama-sama rakan semua tujuh amalan sunat yang boleh kita praktikkan pada Hari Raya nanti. Walaupun ianya mudah tapi besar pahala yang kita dapat. Selamat beramal dan jangan lupa sharekan dengan kawan-kawan yang lain.
Di hari mulia bulan Syawal, umat Islam adalah amat digalakkan untuk :-
1) Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat sunat Aidil fitri.
Ulama besar Tabien Said Bin Jubayr berkata :
“Tiga perkara sunnah di hari raya iaitu antaranya : mandi sunat sebelum keluar solat hari raya”.
2) Menjamah makanan sebelum keluar.
Ia berdasarkan hadith dari Anas Bin Malik yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang menyebut :
“Nabi SAW tidak keluar di pagi hari raya idil fitri sehinggalah Nabi SAW menjamah beberapa biji kurma…”
3) Memperbanyakkan Takbir dan bukan memperbanyakkan menonton TV dan bermain mercun.
Seharusnya umat Islam jangan terlalu di sibukkan dengan aktiviti persiapan raya sehingga meninggalkan peluang takbir ini. Ini adalah penting bagi syiar Islam selain kalimah Takbir yang dibenci oleh Syaitan. Ad-Dar Qutni melaporkan bahawa apabila Ibn Umar r.a keluar di hari raya Idul Fitri, beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar untuk mengimamkan solat hari raya.
4) Mengucapkan selamat dan mendoakan antara satu sama lain.
Tiada masalah untuk menggunakan apa jua kalimah, asalkan ianya mempunyai maksud yang sama. Bagaimanapun, kalimah yang digunakan di zaman baginda SAW adalah:
“Taqabbalallahu minna wa minkum”
ertinya : Semoga Allah menerima amalan (amalan dan ibadat di Ramadhan) kami dan kamu”.
Disebut dalam sebuah riwayat :
Ertinya : Berkata Wathilah, Aku bertemu Rasulullah s.a.w pada hari raya dan aku katakan pada baginda “taqabballahu minna wa minka”, baginda menjawab : Ya, taqabbalallahu minna wa minka” ( Al-Baihaqi, rujuk perbincangan di Fath Al-Bari, 2/446 )
5) Memakai pakaian terbaik yang ada.
Walaupun demikian, perlulah mengikut kemampuan dan tiada pembaziran dibenarkan.
Tidak dibenarkan untuk menghina pakaian orang lain yang kurang indah dan mahal (kecuali pakaian seksi dan tidak menutup aurat memang di haramkan di dalam Islam).
6) Menukar jalan ke tempat solat (balik dan pergi).
Ia berdasarkan hadith dari Jabir r.a yang menyebut bahawa Nabi SAW biasanya menukar atau berbeza jalan pergi dan pulang apabila di hari raya” (Riwayat Al-Bukhari)
7) Berziarah dan merapatkan hubungan baik sesama Muslim sempena musim cuti yang diperolehi.
(Sumber)
Terimakasih mengingatkan 7 amalan ini, mesti ingat supaya tidak lupa pada HAri raya nanti, Selamat Hari Raya Rakan Ikmal
ReplyDelete