Nampaknya Juara MasterChef Malaysia musim pertama macam hendak menukar bidang lah pula. Kenapa nie Dr Ezani, dah tak minat kah dengan bidang kedoktoran tu dah ? atau saja-saja nak ceburi bidang hiburan. Kalau nak tahu kisahnya jom baca lagi ke bawah ya...
KUALA LUMPUR: Juara MasterChef Malaysia musim pertama Dr Ezani Farhana Md Monoto sanggup mengorbankan cita-citanya sebagai seorang doktor gigi buat sementara waktu demi menceburi dunia hiburan.
Wanita berusia 26 tahun ini berkata keputusan itu diambil kerana dia mahu menimba pengalaman baru dalam bidang seni selepas memenangi program realiti masakan popular itu.
"Saya yakin dengan keputusan untuk tangguhkan perkhidmatan sebagai doktor gigi kerana kerjaya itu tidak akan lari ke mana.
"Kebetulan selepas menjuarai MasterChef Malaysia, saya mengikat kontrak sebagai artis residen Astro untuk tiga tahun, sekali gus membuka peluang untuk menceburi bidang hiburan," katanya ketika ditemui pada sesi fotografi bersama mStar Online, di sini, baru-baru ini.
Dr Ezani berkata dia tidak berasa terkilan atau ralat dilihat lebih mengutamakan dunia glamor berbanding kerjaya doktor gigi yang lebih terjamin kerana sudah memikirkan segenap aspek sebelum membuat keputusan tersebut.
"Sebenarnya keputusan untuk menangguhkan perkhidmatan sebagai doktor gigi sudah saya putuskan sebaik saya layak menyertai program ini.
"Saya sanggup tangguhkan panggilan daripada Kementerian Kesihatan untuk mula berkhidmat sebanyak dua kali. Pertama ketika saya mula-mula menyertai program ini dan kali kedua selepas saya memenangi MasterChef Malaysia," katanya yang menangguhkan perkhidmatan di sebuah hospital kerajaan di Sabah.
Ditanya tidakkah dia sebagai golongan terpelajar melihat keputusan untuk menceburi dunia hiburan sebagai keputusan dangkal, Dr Ezani berkata dia percaya banyak manfaat yang boleh dikongsi dengan masyarakat menerusi kempen-kempen kesihatan bersama pihak kerajaan kelak.
"Saya percaya sekalipun saya belum dapat berkhidmat sekarang, pembabitan saya dalam bidang hiburan ini mungkin membuka ruang untuk bergerak sebagai duta bagi kempen-kempen pergigian kerajaan.
"Kini, saya difahamkan Kementerian Kesihatan juga sedang mengadakan perbincangan dengan pihak Astro bagi melaksanakan beberapa kempen yang menonjolkan saya sebagai jurucakap atau duta," kata graduan dari Universiti Adelaide, Australia ini.
Selepas bergelar juara program tersebut, anak bongsu daripada dua beradik ini terikat di bawah Pengurusan Artis Astro selama tiga tahun.
Dia juga bakal mengacarakan sebuah program bercorak kembara masakan tidak lama lagi.
Sumber: mStar
{ 0 Comments... read them below or add one }
Post a Comment